PELANCARAN ICMET

PULAU PINANG, 6 MAC 2017 –  Mengambil inisiatif serta menzahirkan kepekaan serius dalam keperluan pembangunan dan perkembangan teknologi

PULAU PINANG, 6 MAC 2017 –  Mengambil inisiatif serta menzahirkan kepekaan serius dalam keperluan pembangunan dan perkembangan teknologi pendidikan global, Prof. Dr. Rozhan M. Idrus dan Prof. Dr. Badrul Huda Khan telah mengilhamkan penubuhan International Congress of Muslims in Educational Technology (ICMET).

ICMET merupakan kongres antarabangsa yang diurusetiakan oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan keahlian dari seluruh dunia, tanpa mengira bangsa dan agama. Keahlian kongres ini terbuka kepada pelajar, akademik, penyelidik, dan pelabur. ICMET bergerak tanpa yuran keahlian, di mana sumber kewangan utama kongres adalah dari sumbangan ahli, wakaf atau penajaan. Laman web ICMET adalah http://icmet.usim.edu.my, manakala laman Facebook kongres ini adalah https://www.facebook.com/icm.edtech.

Bagi menzahirkan penubuhan kongres ini, majlis pra-pelancaran ICMET telah diadakan di Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang. Program dengan tema memperkasa keserakanan institusi pendidikan global ini merupakan anjuran bersama USM, Universiti Teknologi MARA (UiTM), USIM, McWeadon Education USA, Daffodil International University (DIU) Bangladesh, dan Institut Terjemahan Bahasa Malaysia (ITBM). USM mengambil tanggungjawab menjadi tuan rumah majlis pra-pelancaran kongres ini bersempena pelancaran buku E-Learning: Open Learning Environment hasil tulisan Prof. Dr. Badrul Huda Khan, pakar e-pembelajaran ternama daripada Amerika Syarikat. Majlis ini turut dihadiri oleh Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, Penolong Naib Canselor USM, dan Prof. Datuk Dr. Syed Othman Al-Habshi, Timbalan Presiden International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF).

Antara objektif ICMET adalah untuk menjadi payung kepada sarjana dalam bidang teknologi pendidikan dengan mengumpul, menambahbaik dan memperkasa rangkaian kepakaran, bagi menginovasikan dunia pendidikan untuk kebaikan sejagat.

Rozhan selaku pengasas kongres ini berkata, “Masyarakat umum diharapkan akan turut serta menyumbang dalam kongres ini sama ada dari segi kewangan, idea, rangkaian, atau lain-lain bentuk yang bersesuaian. Diharapkan agar kongres ini akan manjadi teraju utama dalam pembangunan pedagogi inovatif, penambaikan kaedah penyampaian, perluasan capaian, serta peningkatan ekuiti pendidikan”.

Beliau menambah bahawa kongres ini akan menganjurkan aktiviti-aktiviti akademik bertemakan teknologi pendidikan melalui persidangan, forum dan pameran. Aktiviti utama yang akan dianjurkan oleh ICMET adalah kongres tahunan, yang mana tarikh terdekat adalah sekitar Mac 2018 dan dijangka diadakan di Kuala Lumpur. Aktiviti lain dengan kerterlibatan ICMET adalah program International University Carnival on E-Learning (IUCEL) yang akan diadakan pada 25 – 26 September 2017 di USIM. IUCEL 2017 merupakan program anjuran Majlis Ketua-Ketua e-Pembelajaran Malaysia (MEIPTA), dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Sebarang maklumat lanjut berkenaan kongres ini boleh berhubung dengan Dr. Nurkhamimi Zainuddin, Setiausaha Agung ICMET di talian 067986600.

Pin It

Leave a Comment